Sepintas tentang INOVASI...

DEFINISI INOVASI

Perkataan inovasi berasal daripada bahasa Latin dan pada asalnya membawa maksud ‘pembaharuan’. Kebanyakan orang mendefinisikan inovasi sebagai pembangunan teknologi baru, atau aplikasi sesuatu teknologi dalam kegunaan tertentu. Dalam kertas kerja ini inovasi didefinisikan sebagai kebolehan untuk mencipta kemahiran di dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan peluang untuk meningkatkan atau memperkayakan taraf hidup masyarakat. Harvard’s Theodore Levitt mengatakan “innovation is doing new things”. Seorang usahawan yang berjaya itu perlu berfikir dan melakukan sesuatu yang baru atau memperbaharui yang lama dengan cara/jalan yang baru.

Drucker, Peter Ferdinand merupakan tokoh yang bertanggungjawab di dalam mengetengahkan inovasi dan ini diakui oleh beberapa pihak seperti Wall Street Journalda n Fortune.

“The dean of this country’s business and management philosophers.” – Wall Street Journal.
“Any book by Drucker is rewarding, and it is impossible to read the man without learning a lot...... Drucker’s ideas continue to display a force and resonance that leave him pretty much in a class by himself.” - Fortune.

TUJUAN INOVASI

Bertujuan untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan baru bagi para pengguna dengan teknologi sebagai terasnya. Namun demikian sesetengah orang berpendapat bahawa inovasi tidak semestinya melibatkan teknologi. Inovasi juga didefinisikan sebagai penciptaan cara-cara baru untuk menyampaikan nilai kepada pengguna. Prof. Hirotaka Takeuchi iaitu profesor bidang pemasaran dan perdagangan antarabangsa di Universiti Hitotsubashi mengatakan untuk menghasilkan inovasi, tidak semestinya ada individu-individu genius di dalam sesebuah organisasi korporat seperti yang dilakukan di Barat.

Di Jepun, inovasi dihasilkan oleh pasukan-pasukan projek kreatif yang dianggotai oleh para pengurus pertengahan. Mereka terdiri daripada para jurutera, para pengurus pengeluaran, para jurujual dan pengurus kualiti yang bekerja bersama-sama sejak mula hingga akhir dalam proses penciptaan inovasi. Di Barat, mereka lebih kepada penggunaan pasukan-pasukan fungsional yang berbeza-beza. Di Amerika, para pakar telah mencipta pelbagai cara penyelidikan dengan tujuan syarikat-syarikat dapat mencipta dan menjual produk baru yang berjaya dalam pasaran. Antara kaedah yang digunakan ialah survei, kumpulan fokus dan soal-selidik.

INOVASI ADALAH BERSIFAT KONSEPTUAL DAN PRESEPTUAL

Di dalam setiap inovasi terkandung konsep-konsep baru dan persepsi- persepsi baru. Inovasi bukan hasil analisis semata-mata. Ia melibatkan ketiga-tiganya, iaitu konsep, persepsi dan analisis fakta. Seorang inovator hendaklah terlebih dahulu mencipta konsep dan persepsi baru.
Inovasi adalah pengenal pasti peluang-peluang baru. Para inovator didorong oleh peluang-peluang mencari keuntungan dengan cara memenuhi keperluan para pengguna. Untuk mengenal pasti peluang-peluang itu, mereka melakukan pemerhatian pada trend-trend, masalah-masalah dan perubahan- perubahan yang berlaku di sekeliling mereka.

UNTUK MENCIPTA INOVASI YANG EFEKTIF - INOVASI ITU HENDAKLAH BERSIFAT SIMPLE

Sesuatu inovasi hendaklah mempunyai fokus. Buat satu perkara saja. Kalau inovasi itu melibatkan macam-macam perkara, pengguna mudah keliru; kalau rosak pula, ia sukar diperbaiki; harganya pun mahal.

INOVASI YANG EFEKTIF BERMULA SECARA KECIL-KECILAN

Cita-cita yang terlalu besar akan menggagalkan usaha inovasi. Tujuan inovasi hendaklah spesifik. Kita perlu melaksanakan perkara yang sepatutnya dilaksanakan terlebih dahulu. Aplikasi adalah faktor penting dalam inovasi. Jangan hanya memikirkan apa yang cuba dilakukan oleh inovasi itu. Fikirkan juga apa yang dapat mendorong supaya orang yang sepatutnya menggunakan inovasi itu, mahu menggunakannya. Kalau tidak, nanti akan berlaku keadaan di mana inovasinya betul, tetapi bentuknya salah, seperti yang berlaku kepada alat pembuka durian yang pernah dicipta pada satu masa dahulu. Hingga sekarang orang lebih suka menggunakan pisau biasa untuk membuka durian. Inovasi-inovasi yang cuba mencipta kegunaan- kegunaan baru dan memasuki pasaran-pasaran baru mestilah dibuat berpandukan tujuan teknikal yang jelas, tepat, dan reka bentuknya memenuhi aplikasinya.


PERKARA-PERKARA YANG MESTI DIELAKKAN:
  • Jangan jadi terlampau cerdik. Semua jenis inovasi akhirnya akan digunakan oleh orang-orang biasa. Ada kalanya inovasi itu akan digunakan oleh orang-orang bodoh dan yang separuh bodoh. Kalau inovasi itu terlampau cerdik, ia pasti gagal. Kalau jurutaip terpaksa belajar sains komputer terlebih dahulu sebelum dia dapat menggunakan komputer, komputer itu pasti gagal.
  • Jangan mencipta inovasi untuk masa depan. Inovasi hendaklah dicipta untuk masa sekarang. “Apakah keperluan sekarang?”, itu yang mesti dijawab oleh inovasi, bukan “Apakah yang diperlukan 10 tahun dari sekarang?”. Memang inovasi boleh mempunyai kesan yang lama, tetapi untuk berjaya inovasi itu mesti ada aplikasi yang serta-merta.